Bola Sepak

Ten Hag tidak ragu-ragu gugurkan pemain - Shaw

Oleh Reuters

Manchester: Bek kiri Manchester United, Luke Shaw berkata, pengurus, Erik ten Hag tidak teragak-agak menggugurkan pemain yang mengalami penurunan prestasi dan tiada siapa terjamin tempat dalam kesebelasan utama.

Cristiano Ronaldo yang juga penjaring terbanyak United musim lalu dengan 24 gol dan kapten, Harry Maguire, kedua-duanya kerap diletakkan di bangku simpanan musim ini.

Ten Hag mahu memastikan pemain memberikan 100 peratus setiap hari untuk mengekalkan tempat dalam kesebelasan utama, kata Shaw.

"Perkara baik mengenai pengurus ini adalah jika anda tidak bermain dengan baik, anda tidak akan diturunkan," katanya kepada the National yang disiarkan semalam.

"Sebelum ini, perkara seumpama itu tidak berlaku, tetapi saya fikir perkara bagus mengenai pengurus ini adalah semua pemain dalam pemerhatiannya,.

"Dia memastikan semua orang memberikan 100 peratus pada setiap hari. Jika anda tidak mampu melakukannya, anda tidak akan bermain. Ini perkara positif."

Shaw turut mendapati dirinya kerap diletakkan di bangku simpanan sebelum ini.

Dia tidak diturunkan ketika dua kekalahan berturut-turut kepada Brighton & Hove Albion dan Brentford pada Ogos, tetapi kembali berada dalam kesebelasan utama sejak dua perlawanan liga terakhir.

"Secara jujurnya, saya tidak perlu Ten Hag berkata sesuatu kepada saya," kata Shaw.

"Saya tahu dua perlawanan awal memang tidak bagus dan faham bahawa itu masanya untuk saya tidak berada dalam pasukan.

"Keputusan perlawanan buruk, prestasi saya tidak bagus. Saya terus berlatih dan bekerja keras setiap hari jadi pengurus nampak usaha yang dilakukan."

United yang kini menduduki tangga kelima Liga Perdana Inggeris (EPL) akan menanti kunjungan pasukan tempat ketiga, Tottenham Hotspur, awal pagi Khamis ini.

Disiarkan pada: October 18, 2022 @ 1:17pm
d