Sukan Lain

Skuad ragbi tingkat persiapan

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Skuad ragbi 7 sebelah (7s) lelaki dan wanita negara mahu lebih fokus melakukan persiapan rapi bagi mengharungi Kejohanan Siri 2 Asia Rugby Sevens Series (ARSS) 2022 di Incheon, Korea Selatan dalam tempoh terdekat.

Walaupun keputusan kurang menyebelahi pasukan negara pada pertemuan peringkat kumpulan Siri 1 ARSS di Bangkok, Thailand baru-baru ini, itu bukan menggambarkan prestasi keseluruhan pasukan.

Ketua jurulatih pasukan lelaki negara, Saizul Hafifi berkata, banyak kelemahan perlu diperbaiki pasukan negara dalam usaha mencipta keputusan positif di kejohanan Siri 2 ARSS itu.

"Kita akan perbaiki kelemahan dalam pasukan dengan memastikan terus mampu mencipta kemenangan selain mengenal pasti kekuatan lawan di kejohanan itu," katanya.

Sementara itu, pengendali skuad wanita negara, Muhammad Siddiq Amir Jalil sudah pastinya beliau akan melakukan perbincangan bersama barisan kejurulatihan untuk menambah lagi kekuatan pasukan untuk mencipta kemenangan di Incheon.

"Banyak perkara yang dipelajari oleh barisan pemain terutama ketika berhadapan pasukan gergasi Asia di Bangkok. Saya mengharapkan kita mampu mencipta kejutan pada penampilan di Icheon sebagai persediaan mengharungi kejohanan Ragbi Asia kelak," katanya.

Keputusan peringkat kumpulan Siri 1 ARSS di Bangkok, Thailand baru-baru ini menyaksikan pasukan lelaki dan wanita negara mengakhiri saingan masing-masing di tempat ketujuh dan keenam.

Disiarkan pada: October 24, 2022 @ 5:08pm
d