Bola Sepak

FAM serius kaji penggunaan VAR

Oleh Firdaus Hashim

Petaling Jaya: Siapa kata Liga Malaysia (Liga M) akan jadi 'liga kampung' selama-lamanya apabila sebaliknya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) cukup serius menaikkan mutu dan kualiti Liga M terutamanya dalam penggunaan video bantuan pengadil (VAR).

Menurut Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, badan induk bola sepak tempatan itu sudah mula mengorak langkah dengan mengadakan beberapa perbincangan bersama dua buah syarikat yang menyediakan sistem VAR itu.

Katanya, dua syarikat iaitu Hawk-Eye Innovations dan Mediapro sudah membentangkan beberapa maklumat termasuk kos penyelenggaraan dan penggunaan VAR.

Ujarnya, FAM masih lagi belum memutuskan apa-apa keputusan namun pihaknya cukup serius untuk memperbaiki mutu pengadilan di liga tempatan.

"Ada taklimat daripada penyedia (sistem VAR) Hawk-Eye Innovations dan Mediapro, dan dia ada buat pembentangan tapi benda itu diperingkat perbincangan lagi.

"Kita akan menilai dari segi kos dan sebagainya sama ada nak beli ke atau nak sewa. Itu kita serahkan kepada Jawatankuasa Pengadil untuk menilaikan.

"Hawk-Eye Innovations buat online (pembentangan secara online)…Mediapro pula buat (pembentangan) selepas masa final Piala AFC, dia ada jumpa Datuk S Sivasundaram selaku Pengerusi dengan Unit Pengadil, dan ada sedikit perbincangan tapi tak muktamad.

"Akan datang memang diperlukan tapi kita kena tengok dari segi keperluan di sini," katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman kerjasama FAM dan HP Malaysia di Wisma FAM, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kuala Lumpur City FC (KL City) muncul pasukan pertama yang menggunakan VAR selaku tuan rumah dalam aksi final Piala AFC menentang Al Seeb di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Difahamkan kos memasang VAR di satu stadium dilaporkan boleh mencecah AS$150,000 (RM627,000), dan jika ia dipasang di semua stadium dalam saingan Liga M, ia boleh mencecah hampir RM10 juta memandangkan 16 pasukan bakal bertanding di Liga Super selepas ini.

Disiarkan pada: October 27, 2022 @ 6:29pm
d