Bola Sepak

Pogba terlepas aksi Piala Dunia

Oleh AFP

Milan: Paul Pogba terpaksa melupakan aksi Piala Dunia bersama Perancis selepas dia memerlukan lebih masa untuk proses pemulihan pembedahan lutut, menurut ejennya awal pagi tadi.

"Susulan penilaian perubatan semalam dan hari ini di Torino dan Pittsburgh, kami terpaksa menerima hakikat Paul Pogba masih memerlukan masa yang lebih lama untuk pulih selepas menjalani pembedahan lutut," kata Rafaela Pimenta dalam satu kenyataan.

"Oleh itu, Paul tidak dapat menyertai semula skuad Juventus sebelum liga berehat untuk Piala Dunia dan tidak akan dapat bersama skuad kebangsaan Perancis di Qatar."

Jurulatih Juve Massimiliano Allegri pada Jumaat lalu berkata pemain tengah berusia 29 tahun sukar kembali bermain bersama pasukannya sebelum Serie A dihentikan untuk Piala Dunia.

Semalam, media Itali melaporkan Pogba mungkin tersisih sehingga 15 hari akibat kecederaannya itu.

Pogba antara 12 pemain Juve yang tidak dapat beraksi. Dia antara tonggak Perancis yang menjuarai Piala Dunia di Rusia empat tahun lalu dan menjaringkan gol ketika menewaskan Croatia 4-2 di final.

Disiarkan pada: November 1, 2022 @ 7:05am
d