rap

'Syazlin Zainal tak lekang dengan senyuman' - Hazama

Oleh Zaara Talita

Kuala Lumpur : "Semalaman saya tak dapat lelapkan mata kerana terbayangkan arwah. Teringat ketika kami menjalani penggambaran bersama," kata penyanyi dan pelakon Hazama mengenai berita pemergian pelakon, Syazlin Zainal yang maut selepas terjatuh dari tingkat 22 sebuah pangsapuri di Johor Bahru, semalam.

Hazama dan Syazlin pernah berlakon bersama dalam drama berjudul Potong arahan Datuk Jurey Latiff pada 2020.

Menurut Hazama, sepanjang tempoh dua bulan menjalani penggambaran drama itu, Syazlin yang mesra dengan panggilan Alin kerap tampil dengan senyuman.

"Kami sama-sama berasal dari Keramat, Kuala Lumpur dan tidak sangka dia juga bersekolah di sekolah yang sama dengan saya. Jadi sebagai abang, saya menjaganya sepanjang tempoh perkenalan.

"Dia juga sering meminta nasihat dan ilmu memandangkan saya lebih dulu berkecimpung dalam bidang seni. Kami sering berborak di lokasi dan isteri saya juga turut terkejut apabila dimaklumkan berita ini.

"Tidak sangka dia pergi pada usia yang sangat muda dan dalam keadaan mengejut. Bukan pergi kerana sakit, jadi impaknya lebih terasa. Salam takziah saya ucapkan kepada keluarga arwah," katanya yang dimaklumkan mengenai berita sedih itu oleh rakan selebriti, Nadia Brian.

Disiarkan pada: November 11, 2022 @ 4:56pm
d