Amerika Utara

PBB gesa Rusia bayar pampasan kepada Ukraine

Oleh BERNAMA

New York: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin meluluskan resolusi menggesa Rusia membayar pampasan kepada Ukraine berikutan operasi ketenteraan khas yang dilancarkan Moscow ke atas jirannya pada Februari.

Resolusi yang diluluskan itu juga menuntut Rusia bertanggungjawab terhadap sebarang pelanggaran undang-undang antarabangsa di dalam atau terhadap Ukraine, lapor Agensi Anadolu.

Sebanyak 94 negara daripada 193 anggota mengundi menyokong resolusi itu, manakala 14 menentang dan 74 berkecuali.

Rusia, China, Iran, dan Syria antara negara anggota yang menentang resolusi itu.

Resolusi itu juga menyeru satu "mekanisme antarabangsa" ditubuhkan bagi menuntut ganti rugi kerosakan, kehilangan atau kecederaan yang timbul hasil daripada "tindakan salah laku antarabangsa" terhadap Ukraine.

Selain itu, resolusi berkenaan turut mengesyorkan daftar kerosakan antarabangsa dibuat yang berfungsi sebagai bukti dalam bentuk dokumentari, keterangan dan maklumat tuntutan mengenai kerosakan, kehilangan atau kecederaan terhadap orang ramai dan mempromosikan serta menyelaras pengumpulan bukti.

Disiarkan pada: November 15, 2022 @ 11:11am
d