mutakhir

PRU-15: 3 individu di Kelantan tidak dapat mengundi, nama sudah diguna

Oleh Nor Fazlina Abd Rahim dan Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Tiga individu di Kelantan tidak dapat mengundi semalam, berikutan nama mereka didakwa sudah digunakan individu lain.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kelantan, Fakhrul Razi Ab Wahab yang mengesahkan perkara itu berkata, tiga kes itu masing-masing berlaku di Machang, Bachok dan Tanah Merah.

Katanya, tiga pemilih berkenaan datang untuk mengundi, namun nama mereka sudah dipotong dan digunakan.

"Perkara itu diketahui hasil daripada semakan oleh petugas kita dan nama tiga pemilih berkenaan sudah dipotong sebelum mereka mengundi.

"Pihak SPR meminta tiga individu itu membuat laporan polis berikutan nama mereka sudah digunakan," katanya ketika ditemui di pejabat SPR di Wisma Persekutuan Kelantan di sini, malam tadi.

Fakhrul Razi berkata, proses pilihan raya di Kelantan semalam berjalan dengan lancar tanpa berlaku sebarang kekecohan di 557 pusat mengundi biasa dan awal dengan jumlah 70 peratus.

Katanya, keputusan pengundian yang pertama diperolehi adalah dari Parlimen Pasir Puteh pada jam 10.35 malam dan terakhir dari Kubang Kerian pada 12.18 tengah malam.

Disiarkan pada: November 20, 2022 @ 8:59am
d