mutakhir

'Kita tak tengok wayang...'- Peja

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: "Kita tak tengok wayang, kita munajat... tak makan popcorn," seloroh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Timbalan Presiden Bersatu itu berseloroh ketika disapa media yang menunggu di kediaman Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal tidak memberitahu tujuannya hadir ke kediaman Muhyiddin, hari ini.

Beliau yang memandu sendiri kereta Lexus berwarna putih bersama isterinya, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi tiba, pada 9.25 pagi.

Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim berseloroh mahu keluar menonton wayang ketika meninggalkan kediaman beliau di Bandar Sungai Long, Kajang dan sekali lagi di pejabatnya, di Jalan Gasing, Petaling Jaya, ketika ditegur sekumpulan media.

Anwar turut memberikan popcorn (bertih jagung) kepada kepada pengamal media yang berkumpul di perkarangan pejabatnya sejak pagi.

Hari ini, Istana Negara akan menganjurkan perbincangan Khas Raja-Raja Melayu susulan kemelut pembentukan kerajaan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin dilaporkan berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitah perkenan untuk mengadakan perbincangan Khas Raja-Raja Melayu.

Kemelut pembentukan kerajaan masih belum terungkai berikutan tiada parti yang mendapat cukup majoriti selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Disiarkan pada: November 24, 2022 @ 10:14am
d