mutakhir

Keluar rumah pengasuh tanpa disedari

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Yan: Kanak-kanak perempuan berusia sekitar tiga tahun yang ditemui anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di tempat letak kereta kaki Gunung Jerai, semalam, dipercayai keluar dari rumah pengasuh tanpa disedari.

Kanak-kanak itu ditemui hanya memakai lampin pakai buang bersendirian di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, kanak-kanak itu ditemui jam 3.30 petang dan dibawa ke Balai Polis Guar Chempedak.

Beliau berkata, sebaik tiba di balai polis, seorang daripada anggota Rela terbabit mengecam kanak-kanak berkenaan dan menghubungi warisnya.

"Berikutan itu, ibu bapa kanak-kanak perempuan itu kemudian datang mengambilnya pada jam 4.30 petang.

"Berdasarkan maklumat ibu bapanya, kanak-kanak itu dihantar ke rumah pengasuh di Taman Jerai Height bersama seorang lagi anaknya berusia dua bulan.

"Namun kanak-kanak itu dipercayai keluar rumah tanpa disedari oleh pengasuhnya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Shahnaz berkata, ketika ditemui, kanak-kanak itu dalam keadaan baik dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan sebelum diserahkan semula kepada ibu bapanya.

Beliau berkata, tiada sebarang laporan polis dibuat oleh anggota Rela atau waris kanak-kanak itu.

Disiarkan pada: December 29, 2022 @ 4:10pm
d