mutakhir

Dua warga asing disyaki berlumba maut kemalangan

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

Kinabatangan: Dua lelaki warga asing yang dipercayai berlumba maut selepas terbabit kemalangan di Kilometer 65 Jalan Sandakan-Lahad Datu, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, kedua-duanya disahkan meninggal dunia lokasi kejadian akibat parah.

Sementara, seorang lagi penunggang motosikal yang selamat dipercayai lari dari kawasan kemalangan.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, kemalangan membabitkan tiga motosikal yang ditunggang tiga pekerja ladang di daerah ini.

Menurutnya, siasatan awal di lokasi mendapati, sebelum kemalangan ketiga-tiga penunggang motosikal itu bergerak dari arah Lahad Datu menuju ke arah Sandakan, disyaki berlumba.

"Namun penunggang dilaporkan hilang kawalan sebelum berlanggar antara satu sama lain menyebabkan ketiga-tiga motosikal terbabas ke bahu jalan.

"Akibatnya, dua lelaki disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kinabatangan manakala seorang lagi tidak dijumpai di lokasi dipercayai beredar dari kawasan kemalangan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Katanya, kedua-dua mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk dibedah siasat.

"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua penunggang tidak disyaki mabuk namun sampel darah dan air kencing sudah diambil untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: January 6, 2023 @ 11:11am
d