mutakhir

Tiga hari hilang, lelaki warga emas ditemukan lemas

Oleh Nor Amalina Alias

Bachok: Misteri kehilangan warga emas sejak tiga hari lalu terjawab apabila mayat mangsa ditemui dalam Sungai Seneng, Jelawat di sini, semalam.

Mayat lelaki yang berusia 74 tahun itu ditemui dalam keadaan terapung oleh penduduk kampung.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pihak polis menerima laporan berhubung penemuan mayat pada jam 1.44 petang.

Katanya, berdasarkan keterangan menantu mangsa, warga emas itu dilaporkan hilang sejak Selasa.

"Pada jam 3.30 petang, ahli keluarga membuat pengecaman mayat dan mengesahkan itu adalah bapa mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) Kota Bharu untuk bedah siasat.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan mati lemas.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: January 6, 2023 @ 1:24pm
d