utama

Mayat komando hanyut dari Melaka hingga ke Banting

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Selepas dua minggu hilang di laut, mayat dipercayai anggota komando Tentera Darat, Lans Koperal Edrin Baintim, 25, yang lemas di perairan Pulau Undan, di sini, akhirnya ditemui hanyut sehingga ke Tanjung Sepat, Banting, Selangor pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mayat memakai pakaian menyelam itu dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat.

"Maklumat awal mendapati mayat mangsa dijumpai di pantai hutan bakau di Tanjung Sepat. Namun kami masih menunggu laporan penuh kejadian.

"Setakat ini polis positif ia adalah mayat komando yang dilaporkan lemas memandangkan baju menyelam dipakai mangsa. Perkara itu turut dinyatakan pihak tentera," katanya tadi.

Sementara itu, Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, pihaknya turut menerima maklumat awal penemuan mayat terbabit namun masih menunggu laporan rasmi mengenainya.

"Ya, kami ada menerima maklumat daripada polis mengenai penemuan mayat terbabit di Tanjung Sepat pagi tadi, namun, kita masih menunggu laporan rasmi untuk menamatkan SAR," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Edrin ditangguhkan selepas hampir seminggu dijalankan tanpa sebarang petunjuk.

Mangsa dilaporkan hilang ketika menjalani latihan menyelam di Pulau Undan pada 7 Februari lalu sebelum operasi besar-besaran mencarinya dilakukan.

Disiarkan pada: February 19, 2023 @ 5:39pm
d