Bola Sepak

Mia berseloroh 'ajar' Izham Tarmizi mengira

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Kesakitan dialami penjaga gol Sri Pahang, Izham Tarmizi Roslan terubat dengan kehadiran isterinya yang juga pelakon, Mia Ahmad.

Kehadiran Mia Ahmad di saat suaminya mengalami kecederaan di mata itu jelas memulihkan semangat bekas penjaga gawang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.

Ini terbukti menerusi hantaran Mia atau nama sebenarnya Samihah Ahmad Baderi di Instagram (IG), apabila memuat naik satu video yang dilihat sedang menghiburkan suaminya, Izham yang ketika itu memegang bayi mereka.

Dalam video itu, Mia dilihat sedang menguji penglihatan Izham dengan berseloroh sambil mengajak suaminya mengira jumlah jarinya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menitipkan doa buat penjaga gol Sri Pahang FC yang cedera pada perlawanan menentang Negeri Sembilan FC (NSFC), Ahad lalu.

Izham cedera selepas berlaga dengan pertahanan NSFC, Hasbullah Abu Bakar sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital dan menerima beberapa jahitan.

Disiarkan pada: March 1, 2023 @ 5:55pm
d