mutakhir

Penyokong PN berkumpul di mahkamah [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi dan Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dibanjiri Penyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin, sejak jam 8.15 pagi.

Penyokong-penyokong itu turut melaungkan seperti 'lawan-lawan' dan 'bangkit kezaliman'.

Selain itu, mereka turut memakai baju-T berwarna putih dengan slogan 'Kami Bersama Abah' dan menggunakan tanda pagar #AbahTabah di selempang kepala berwarna merah.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Razali Idris berkata, sehingga kini kira-kira 300 orang penyokong hadir berkumpul di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

"Bagaimanapun, kita sasarkan 1,000 orang akan hadir secara berperingkat. Mereka yang hadir adalah tinggal di kawasan yang terdekat," katanya ketika ditemui hari ini.

Muhyiddin terdahulu tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira jam 8.40 pagi bagi menghadapi pertuduhan kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Bekas Perdana Menteri itu yang memakai suit berwarna hitam tiba bersama isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman selain anaknya yang juga penyanyi, Najwa dilihat hadir lebih awal.

Semalam, Muhyiddin dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas sembilan jam disoal, dalam siasatan berkait program Jana Wibawa.

Beliau ditahan SPRM pada 1 petang selepas dipanggil untuk diambil keterangan.

Muhyiddin bakal menghadapi beberapa pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Seksyen 4(1) b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Disiarkan pada: March 10, 2023 @ 10:11am
d