mutakhir

140,447 warga emas terima BWE

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan penerima Bantuan Warga Emas (BWE) di seluruh negara berjumlah 140,447 orang dengan peruntukan RM831.4 juta.

Timbalan Menterinya, Aiman Athirah Sabu berkata, jumlah itu berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga Disember 2022.

Katanya, bagi penerima Bantuan Penjagaan Orang Kurang Upaya (OKU) Terlantar atau Pesakit Kronik Terlantar (BPT) adalah seramai 26,904 penerima.

"Jumlah peruntukan disalurkan adalah RM160.2 juta," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) sama ada kementerian mengusahakan elaun penjagaan warga emas bagi penjaga dan ahli keluarga seperti dinyatakan di dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Aiman Athirah berkata, BWE boleh dipertimbangkan kepada warga emas yang hidup bersendirian dan tidak mempunyai pendapatan.

"Bantuan ini juga boleh dipertimbangkan kepada warga emas yang mempunyai anak tetapi berpendapatan rendah dan tidak mampu untuk menyumbang kepada ibu dan bapa sekiranya menepati syarat dan kriteria yang telah ditetapkan," katanya.

Bagi warga emas yang terlantar atau menghidap penyakit kronik katanya, BPT boleh dipertimbangkan kepada penjaga warga emas mengikut beberapa syarat.

"Pertama, warganegara dan bermastautin di Malaysia.

"Kedua, pemohon adalah penjaga sepenuh masa, memberikan penjagaan rapi kepada OKU terlantar atau pesakit terlantar, pesakit kronik yang memerlukan pengawasan dan penjagaan.

"Ketiga, pendapatan bulanan isi rumah tidak melebihi RM3,000," katanya.

Disiarkan pada: March 21, 2023 @ 1:37pm
d