Bola Sepak

Fifa anjur bengkel VAR

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) semakin hampir dilaksanakan di Liga Malaysia apabila buat pertama kalinya bengkel mengenai pelaksanaan sistem terbabit di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini, hari ini.

Bengkel yang berlangsung dua hari itu dikendalikan tiga instruktur VAR dari Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) iaitu Dirk Schlemmer, Michael Bailey dan Bhaveshan Moorghen.

Manakala peserta bengkel pula terdiri daripada kakitangan FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Kelompok peserta itu adalah antara menganggotai pasukan projek VAR Liga Malaysia.

Peserta diberikan penerangan secara terperinci mengenai aspek-aspek yang terkandung dalam Implementation Assistance & Approval Programme (IAAP) bagi pelaksanaan teknologi VAR ini.

Majlis perasmian bengkel disempurnakan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM pagi semalam, manakala majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, hari ini.

Sebelum ini, FAM mengesahkan bakal menggunakan VAR dalam saingan liga tempatan pada musim ini dengan kemungkinan ia akan dilaksanakan dalam aksi Piala Malaysia nanti.

Disiarkan pada: April 4, 2023 @ 7:02pm
d