mutakhir

Dua wanita direman kes salah guna kuasa

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Dua wanita termasuk ketua pembantu tadbir jabatan persekutuan direman lima hari bermula hari ini, susulan dakwaan salah guna kuasa.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Sukri hingga Sabtu selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mereka disiasat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009.

Kedua-duanya ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu semalam.

Difahamkan, ketua pembantu tadbir jabatan persekutuan berusia 44 tahun itu disyaki menyalahgunakan jawatan untuk menyokong syarikat milik adik iparnya berumur 39 tahun mendapatkan beberapa perolehan pembekalan di jabatan itu.

Kes itu berlaku sejak 2019 lagi dan membabitkan lebih 10 perolehan pembekalan yang keseluruhannya mencecah kira-kira RM30,000.

Disiarkan pada: April 11, 2023 @ 11:10am
d