mutakhir

APM bantu perantau pulang ke kampung halaman [METROTV]

Oleh Paya Linda Yahya

Gua Musang: Seramai 350 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantam ditugaskan di 29 laluan di negeri ini menerusi Ops Prihatin bagi membantu perantau yang pulang berhari raya bermula Selasa lalu.

Pengarahnya, Kolonel (PA) Mohd Adzhar Mujab berkata, sepanjang operasi itu, anggota akan bertugas secara bergilir-gilir untuk memantau laluan-laluan berkenaan.

Menurutnya, tiga daerah yang menjadi pintu masuk ke negeri ini sudah pasti menjadi tumpuan utama pemantauan iaitu Gua Musang, Jeli dan Pasir Putih.

"Dalam Ops Prihatin ini, anggota APM yang bertugas akan melakukan rondaan dan pemantauan kepada pemandu yang pulang berhari raya membabitkan 29 laluan di 11 daerah.

"Jika ada pemandu yang berhenti di tepi jalan, anggota yang bertugas akan membantu melihat keperluan sekiranya mereka menghadapi masalah selain memberi bantuan awal jika terdapat kemalangan berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Ops Prihatin di Hentian Gua Musang, di sini, yang turut dihadiri Pengerusi Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail, semalam.

Mohd Adzhar berkata, operasi itu akan membabitkan enam pacuan empat roda dan ambulans yang dilengkapi dengan kemudahan bagi membantu mereka yang memerlukan.

"Sepanjang rondaan, anggota turut dibekalkan kit penyegaran mengandungi kuih raya, air dan roti untuk diberikan kepada pemandu yang berdepan masalah kenderaan ketika dalam perjalanan pulang ke kampung," katanya.

Disiarkan pada: April 20, 2023 @ 4:46pm
d