WM

Kenali nutrien diperlukan badan

Oleh Muhamaad Razis Ismail

DIET dilihat semakin berubah dengan ketara berbanding dua atau tiga dekad lepas, khususnya dari segi pengambilan garam, gula dan lemak.

Pakar Pemakanan Klinikal dan Naib Presiden Latihan (Training), Herbalife Nutrition, Dr Luigi Gratton berkata, ini tidak menghairankan kerana garam, gula dan lemak adalah tiga ramuan utama yang menjadikan makanan rasa lebih lazat, dan pada umumnya lebih cepat dan mudah untuk disediakan dan bertahan lebih lama.

"Atas sebab itulah pada hari ini, kita melihat banyak kes obesiti dan berat badan berlebihan yang berlaku bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.

"Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 melaporkan bahawa kira-kira seorang daripada lima dewasa Malaysia kini menghidap diabetes, seorang daripada tiga menghidap hipertensi, dan hampir separuh mengalami obesiti atau berat badan berlebihan," katanya.

Beliau berkata, tidak dinafikan bahawa mengamalkan diet seimbang amat mencabar terutamanya bagi ibu bapa yang bekerja.

"Salah satu cara untuk menangani cabaran ini ialah dengan mengambil makanan tambahan kesihatan untuk mengisi jurang kekurangan nutrien.

"Bagaimanapun, makanan tambahan tidak harus digunakan sebagai satu-satunya sumber nutrien. Sebaik-baiknya sebahagian besar nutrien anda seharusnya diperoleh daripada diet yang seimbang dan pelbagai," katanya.

Selain itu, anda perlu mulakan dengan pengambilan nutrien paling asas yang diperlukan badan seperti magnesium, kalium, dan Vitamin C atau D.

"Anda perlu mengenal pasti sebarang jurang nutrien dalam diet, supaya boleh mengambil langkah-langkah untuk menangani kekurangan dengan melakukan perubahan kepada amalan pemakanan.

"Sebagai contoh, jika anda kekurangan Vitamin D kerana meluangkan banyak masa di dalam rumah dan pejabat, anda hanya perlu keluar untuk mendapatkan cahaya matahari

"Di samping itu, anda boleh ambil 'shake' makanan dan minuman yang kaya dengan Vitamin D dan juga makanan tambahan mengandungi Vitamin D," katanya.

Disiarkan pada: May 4, 2023 @ 6:30am
d