mutakhir

Penyeludup terus pening kepala sepanjang musim kemarau

Oleh Nor Amalina Alias

Pasir Puteh: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan memperketatkan kawalan di sempadan negara ketika musim kemarau.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi menjadikan kawalan di sempadan lebih digeruni.

Kata beliau, pihaknya membuat tiga lapisan kawalan terutamanya memperketatkan kawalan di lapisan kedua dengan lapisan pertama dikawal oleh Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Trend penyeludupan mendapati, pada musim kemarau, masih ada percubaan namun sedikit (untuk memasuki sempadan). Bagaimanapun, kita tidak akan leka dengan keadaan sekarang (musim kemarau).

"Kita akan patahkan cubaan penyeludupan sama ada dadah atau pendatang asing tanpa izin (Pati)," katanya ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh di sini, malam tadi.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Superintendan Zaizul Rizal Zakaria dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Datin Suzana Yashin.

Muhamad Zaki berkata, pihaknya turut melaksanakan kerjasama antara Ketua Polis Daerah (OCPD) negeri dan OCPD di negara jiran bagi mengawal sempadan.

"Dengan cara ini (kerjasama OCPD), kita lebih cepat sampai ke kawasan sempadan dan terus bertindak jika ada aktiviti penyeludupan atau jenayah," katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki turut mengingatkan rakyat Malaysia dan Thailand supaya menggunakan laluan yang sah bagi urusan keluar masuk.

Ini terutamanya membabitkan warga Thailand yang masuk bekerja di Kelantan yang akan pulang mengundi pada 14 Mei ini.

Disiarkan pada: May 10, 2023 @ 1:09pm
d