bisnes

Integrasi sistem tempat letak kereta

Oleh Mohd Zaky Zainuddin

HEITECH Padu Bhd (HeiTech) dan rakan usaha sama, ACO Tech Sdn Bhd (ACO Tech) bekerjasama untuk mengintegrasikan aplikasi Penang Smart Parking ke dalam Unit Utama Infotainment (IHU) Proton yang pertama seumpamanya di Malaysia, sekali gus meningkatkan keupayaan integrasi sistem tempat letak kereta.

HeiTech dan ACO Tech semalam menandatangani memorandum kerjasama (MoC) untuk menjayakan usaha mengintegrasi sistem tempat letak kereta bagi membolehkan pemilik kereta Proton mencari tempat letak kereta tersedia dengan mudah dan membuat pembayaran melalui IHU kereta mereka.

Presiden dan Timbalan Pengerusi Eksekutif HeiTech, Datuk Seri Mohd Hilmey Mohd Taib berkata, kerjasama itu pencapaian penting bagi HeiTech dan ACO Tech kerana ia menunjukkan komitmen kedua-dua pihak terhadap inovasi serta kecemerlangan dalam teknologi mempertingkatkan mobiliti.

"Penyelesaian tempat letak kereta pintar ialah platform pengurusan tempat letak kereta termaju menggunakan teknologi terkini seperti sensor, aplikasi mudah alih dan pengkomputeran awan untuk memberikan maklumat masa nyata tentang ketersediaan tempat letak kereta, lokasi dan harga.

"Ini membuktikan komitmen kami dalam meningkatkan kualiti hidup pemandu di Malaysia melalui penyelesaian termaju memudahkan urusan.

"Kami yakin pengintegrasian aplikasi Penang Smart Parking ke dalam kereta keluaran Proton menjadi pengubah keadaan bagi industri automotif di Malaysia," katanya.

Dengan pengintegrasian itu, pemandu tidak lagi membuang masa mencari tempat letak kereta kerana boleh menggunakan IHU untuk memandu arah ke tempat letak kereta terdekat dan membuat pembayaran secara digital tanpa perlu mencapai peranti mudah alih sebelum turun dari kenderaan.

Dibangunkan oleh HeiTech, penyelesaian tempat letak kereta pintarnya kini merupakan pengintegrasian sistem tempat letak kereta pertama seumpamanya di Malaysia dan telah berjaya dilaksanakan di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah.

"Penyelesaian tempat letak kereta pintar adalah sumbangan kami kepada Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia (MSCF) yang sejajar dengan visi untuk membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) membangunkan bandar masing-masing sebagai bandar pintar," katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2023 @ 7:10am
d