mutakhir

MPB rai lebih 3,000 pelanggan, rakan kongsi [METROTV]

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Lebih 3,000 pelanggan, rakan kongsi dan pihak yang mempunyai hubungan perniagaan dirai Media Prima Berhad (MPB) dalam Majlis Rumah Terbuka sempena Aidilfitri di sebuah hotel di sini, hari ini.

Pengarah Urusan Kumpulan MPB Rafiq Razali berkata, penganjuran rumah terbuka itu selepas empat tahun tidak diadakan antaranya disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

"Biasanya setiap tahun kita akan melakukan rumah terbuka ini untuk beramah mesra dengan semua pelanggan, rakan kongsi dan sesiapa sahaja yang ada hubungan perniagaan dengan Media Prima.

"Alhamdulillah tahun ini (penganjuran) sangat berjaya. Saya rasa lebih 3,000 orang akan datang pada hari ini," katanya ketika ditemui pemberita.

Majlis itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan MPB Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid;

Pengarang Urusan Kumpulan NSTP yang juga Pengarang Kumpulan BH Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit dan Pengarang Kumpulan News Straits Times (NST) Farrah Naz Karim.

Rafiq berkata, rumah terbuka ini juga dapat dijadikan tempat perjumpaan secara santai antara mereka.

"Kita nak jumpa semua rakan kongsi Media Prima dalam persekitaran yang lebih santai," katanya.

Terdahulu pelbagai juadah disajikan kepada tetamu dan dimeriahkan dengan persembahan istimewa.

Disiarkan pada: May 19, 2023 @ 6:34pm
d