Badminton

Aaron-Wooi Yik mara ke pusingan kedua

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak berdepan masalah menumpaskan wakil tuan rumah, Muhamad Shohibul Fikri-Bagas Malauna di Terbuka Indonesia, hari ini.

Dalam aksi di Stadium Istora Senayan, Jakarta itu, Aaron-Wooi Yik menang 21-16, 21-12 ke atas Shohibul-Bagas yang juga juara Seluruh England 2022.

Ia adalah kemenangan kedua berturut-turut Aaron-Wooi Yik yang juga juara dunia ke atas lawan itu selepas turut menang ketika saingan Terbuka Singapura, minggu lalu.

Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan akan bertemu pemenang perlawanan antara beregu Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho dengan Su Ching Heng-Ye Hong Wei dari Taiwan bagi perebutan tiket ke suku akhir, esok.

Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut melangkah ke pusingan kedua selepas mengatasi pasangan England, Gregory Mairs-Jenny Moore 21-14, 21-13 dan membuat perhitungan dengan Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia pada aksi pusingan kedua.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi satu lagi beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See yang terkandas di pusingan pertama selepas tewas di tangan Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti dari Indonesia 16-21, 9-21.

Disiarkan pada: June 14, 2023 @ 8:04pm
d