Bola Sepak

Haaland terus mengganas

Oleh Reuters

Oslo: Bintang Norway Erling Haaland menjaringkan dua gol pada babak kedua ketika mengatasi Cyprus 3-1 dalam aksi kelayakan Euro 2024 Kumpulan A awal pagi tadi sekali gus menebus kekecewaan tewas 1-2 kepada Scotland di tempat sendiri sebelum ini.

Kemenangan itu melonjakkan Norway ke tangga ketiga dengan empat mata daripada empat perlawanan, di belakang Georgia berdasarkan perbezaan gol manakala pendahulu Scotland meraih sembilan mata daripada tiga perlawanan.

Norway memecah kebuntuan minit ke-12 selepas hantaran Alexander Sorloth dari sebelah kanan disambut dengan rembatan kencang Ola Ola Solbakken untuk jaringan antarabangsa pertamanya.

Haaland menyempurnakan penalti minit ke-56 dan melebarkan kedudukan dengan ledakan kencang empat minit selepas itu untuk jumlah jaringan keseluruhannya 56 gol musim ini.

Grigoris Kastanos menghadiahkan gol sagu hati buat pelawat tetapi tuan rumah cekal bertahan untuk meraih kemenangan pertama mereka di peringkat kumpulan.

Disiarkan pada: June 21, 2023 @ 8:45am
d