utama

Anggota TUDM maut bom lempar meletup ketika latihan, 2 jurulatih parah

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Gemas: Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut manakala dua jurulatih parah selepas bom lempar meletup ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin di sini, hari ini.

Difahamkan kejadian berlaku pada 12 tengah hari ketika mereka menjalani latihan menembak senjata dan bom lempar di tapak latihan kem terbabit.

Sumber berkata, bom lempar berkenaan meletup di dalam bunker ketika proses latihan dilaksanakan.

"Kejadian berkenaan membabitkan dua jurulatih dan seorang penuntut dari Institut Pentadbiran dan Pengajian Pengkalan Udara Sendayan (Instar).

"Mangsa yang maut adalah penuntut manakala dua jurulatih yang cedera dibawa ke Hospital Segamat untuk rawatan lanjut," katanya.

Sementara itu, TUDM dilaporkan akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian dalam masa terdekat.

Disiarkan pada: June 25, 2023 @ 5:54pm
d