Badminton

Wei Chong-Kai Wun juara beregu Terbuka Taiwan

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Kem badminton negara hari ini menerima perkhabaran gembira apabila meraih gelaran berganda menerusi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang dinobatkan sebagai juara Terbuka Taiwan.

Wei Chong-Kai Wun bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum berjaya menoktahkan perlawanan dengan kemenangan rubber set 20-22, 21-17, 21-14 menewaskan pasangan tuan rumah, Lu Ching Yao-Yang Po Han.

Ching Yao-Po Han yang berada di ranking ke-15 menggunakan kelebihan sebagai tuan rumah apabila berjaya memenangi set pertama sebelum Wei Chong-Kai Wun bangkit menguasai dua set berikutnya.

Gandingan negara yang kini menghuni ranking ke-23 dunia menunjukkan semangat juang dan membuktikan tiada yang mustahil untuk bergelar juara.

Kejayaan itu menyaksikan Wei Chong-Kai Wun berjaya meraih kejayaan sulung tahun ini selepas terlepas peluang meraih gelaran di Masters Malaysia, Mei lalu apabila kecundang di tangan gandingan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 15-21, 24-22, 19-21.

Bagaimanapun, ia bukan gelaran Terbuka Taiwan pertama buat Wei Chong-Kai Wun selepas turut muncul juara tahun lalu apabila mencipta kejutan menewaskan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Lee Yang-Wang Chi Lin di pentas final.

Kemenangan itu membolehkan Wei Chong-Kai Wun membawa pulang hadiah wang tunai AS$16,590 (RM77,583).

Disiarkan pada: June 25, 2023 @ 6:39pm
d