Bola Sepak

Biar betul kena bayar RM50,000 untuk tamatkan kontrak?

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Isu membabitkan Kelantan FC tidak pernah berakhir apabila kali ini pemain mendakwa perlu membayar RM50,000 untuk menamatkan kontrak biarpun atas persetujuan bersama.

Perkara itu ditimbulkan penyerang The Red Warriors (TRW), Nurshamil Ghani di laman story Instagramnya hari ini.

Katanya, dia bingung apabila pihak pengurusan meminta bayaran RM50,000 jika mahu menamatkan ikatan atas 'tiket' suka sama suka.

Malah, Nurshamil juga mendedahkan dia tidak dibayar bonus perlawanan, bonus kemenangan layak ke Liga Super serta tiadanya pemotongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke akaunnya.

"Serius lah 50k (RM50,000) kau mintak? Ini bukan persetujuan bersama.

"Ini persetujuan untuk kau je. Mintak keluar cara baik pun ini juga dapat", katanya di laman sosial miliknya.

Selain Nurshamil yang memohon penamatan kontrak, beberapa tonggak import juga dilaporkan sudah meninggalkan pasukan atas persetujuan bersama.

Terdahulu, TRW berdepan pelbagai isu dalaman termasuk kelewatan pembayaran gaji kepada setiap pemain, malah turun menahan gaji pemain yang gagal menyerlah dalam pasukan.

Kelab terbabit juga dipalit kontroversi ekoran isu pemecatan bekas jurulatih Korea Selatan, Choi Moon-sik hingga kes berkenaan diheret ke Fifa.

Disiarkan pada: July 2, 2023 @ 6:53pm
d