mutakhir

Tragedi Jeram Mawar: Laporan awal akan siap dalam masa terdekat

Oleh Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Laporan awal berhubung kejadian kepala air yang membabitkan 10 individu di Jeram Mawar, Air Puteh, Chukai, Kemaman dekat Terengganu, pada Sabtu akan siap dalam masa terdekat.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata buat masa ini Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) masih membuat tinjauan awal di lokasi kejadian.

Katanya, siasatan polis juga sudah ada berhubung kejadian itu dan pihaknya kini menunggu laporan daripada pihak polis.

"JMG sudah membuat tinjauan ke lokasi kejadian dan laporan awal berhubung insiden itu akan siap dalam masa terdekat. Kita juga menunggu laporan daripada pihak polis," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media di Lawatan Kerja Yb Menteri ke Projek Membina dan Menaik taraf Sistem Saliran Bagi Mengatasi Masalah Banjir Di Taman Wadi Iman, Kok Lanas di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Nik Nazmi, berkata pihaknya juga akan mengenal pasti kawasan yang mempunyai risiko berlaku kepala air.

"Justeru, saya menasihatkan kepada orang ramai supaya berjaga-jaga dan berhati-hati jika berkunjung ke kawasan rekreasi dan sebagainya," katanya.

Harian Metro melaporkan 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang datang berkelah di Jeram Mawar, di sini pada Sabtu sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.

Disiarkan pada: July 3, 2023 @ 11:41am
d