Asia

3 rakyat Palestin maut, 13 lagi cedera dalam serangan Israel

Oleh Bernama-AA

Jenin (Palestin): Sekurang-kurangnya tiga rakyat Palestin maut, manakala 13 yang lain cedera dalam serangan udara Israel dan serbuan ke atas bandar Jenin di Tebing Barat pada Isnin.

Tiga mangsa yang cedera kini dilaporkan dalam keadaan kritikal, Agensi Anadolu memetik Kementerian Kesihatan Palestin.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh Anadolu, pesawat pejuang Israel melancarkan tiga peluru berpandu ke arah sebuah kediaman di Jenin.

Tentera Israel turut melakukan serbuan ke atas bandar itu menggunakan jentolak tentera berperisai dan mengenakan sekatan ke atas kem pelarian Jenin.

Menurut saksi, kediaman milik keluarga Zakaria ez-Zebidi, seorang komander Briged Syahid Al-Aqsa turut dikepung.

Dalam serangan awal Isnin, tentera Israel juga bertindak menghalang ambulans yang cuba memindahkan mangsa yang cedera.

"IDF pada masa ini menyerang infrastruktur pengganas di kawasan Jenin," menurut ciapan Angkatan Pertahanan Israel di Twitter.

Disiarkan pada: July 3, 2023 @ 2:52pm
d