mutakhir

Senarai calon Pas di Kelantan yang tular adalah palsu - Tuan Ibrahim

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim dan Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Pas menafikan senarai nama calon parti itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan yang tular, sejak semalam.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau sendiri sudah melihat senarai nama yang tular berkenaan.

"Apa yang saya boleh katakan senarai berkenaan tidak betul sama sekali dan ia mula tular sejak semalam.

"Biasalah kadang-kadang kita susah nak kawal media sosial yang terbuka sekarang. Jangan kata senarai nama calon, keputusan mengundi pun kadang-kadang keluar dahulu sebelum kira undi.

"Namun saya sahkan senarai berkenaan tidak betul dan palsu. Kita tidak tahu apa motif maklumat yang tidak betul itu disebarkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ceramah Mega Pakat Pertahan Parlimen Kubang Kerian, di sini, malam tadi.

Terdahulu, tular senarai nama yang dikatakan calon Pas dan Bersatu yang akan bertanding di PRN Kelantan pada bulan depan.

Menerusi senarai berkenaan, Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa dikatakan bertanding di Dewan Undangan Negeri (Dun) Melor, manakala Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dikatakan bertanding di Dun Kijang.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dikatakan mempertahankan kerusi masing-masing iaitu Dun Pasir Pekan dan Dun Panchor.

Disiarkan pada: July 7, 2023 @ 7:43am
d