mutakhir

Lelaki maut, 2 kenderaan terbabit kemalangan menghilang

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Gombak: Penunggang motosikal maut selepas melanggar belakang van sebelum tercampak dan digilis lori di Lebuh Utama Sri Gombak menghala Pinggiran Batu Caves, di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 12.44 tengah hari tadi.

"Ketika kejadian, mangsa iaitu lelaki tempatan berusia 48 tahun menunggang motosikal jenis Honda Wave dalam perjalanan dari arah Sri Gombak menghala ke Pinggiran Batu Caves.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggangnya melanggar belakang van jenis Nissan Urvan yang sedang berhenti di lorong kiri.

"Akibatnya, mangsa tercampak di atas jalan dan dilanggar lori," katanya.

Noor Ariffin berkata, pemandu van dan lori dipercayai terus beredar dari lokasi kemalangan, manakala mangsa disahkan maut oleh pihak Hospital Selayang.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Selayang untuk tindakan," katanya.

Menurutnya, usaha mengesan dua kenderaan terbabit kemalangan itu sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 017-6645812 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222 bagi membantu siasatan," katanya.

Disiarkan pada: July 24, 2023 @ 11:55pm
d