rap

Amber Chia cedera di kepala selepas terjatuh

Kuala Lumpur: Peragawati juga pelakon, Amber Chia, 41, mengalami kecederaan di kepala akibat terjatuh dari tangga kerana pitam dan menjalani rawatan lanjut di sebuah pusat perubatan swasta.

Amber berkongsi kejadian malang yang menimpanya di Instagram dengan memuat naik sekeping gambar menunjukkan dia terbaring di katil hospital dengan kepala berbalut.

"Saya mengalami kemalangan kecil, terjatuh dari tangga semasa pitam," tulisnya ringkas pada kapsyen foto tanpa memberitahu di mana insiden itu berlaku.

Meninjau ke ruangan komen, ramai yang bersimpati dan mendoakan agar Amber cepat sihat dan pulih. Rata-rata warga maya yang meninggalkan komen berharap Amber kuat dan terus bersemangat.

Sementara itu, menerusi Instagram Story, Amber berkongsi keadaan dirinya yang tetap ceria dengan ditemani rakan rapat yang membantunya dalam pengurusan diri.

"Saya okay. Jangan risau, semuanya baik-baik saja," tulisnya dalam kapsyen gambar di Instagram Story itu.

Difahamkan, akibat kemalangan dialami menyebabkan Amber perlu menjalani pembedahan kecil. Bagaimanapun, yang pasti Amber tidak mengalami kecederaan pada organ dalaman.

Untuk rekod, Amber mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Adrian Wong dan hasil perkahwinan itu mereka mempunyai seorang anak lelaki Ashton, kini berusia 13 tahun.

Amber berasal dari Perak tetapi dibesarkan di Tawau, Sabah, memulakan kerjayanya dalam bidang peragaan pada 2004. Seterusnya, menubuhkan perniagaannya sendiri pada 2009, menerusi syarikat Amber Creations.

Disusuli, setahun kemudian dia menubuhkan pula sekolah model dikenali Amber Chia Academy.

Disiarkan pada: July 27, 2023 @ 8:29pm
d